Wednesday, December 24, 2008

FORENSIK POLITIK SELEPAS PILIHANRAYA 2008 DEMI KEAMANAN NEGARA INI

Keputusan pilihanraya umum yang ke-12 bagi negara
Malaysia telah diumumkan beberapa hari yang lalu. Namun hasil keputusannya yang luar biasa yang dikatakan sebagai satu gelombang  besar politik telah berlaku di negara ini masih diperkatakan di sana sini dalam masyarakat Malaysia. Kekalahan jentera Barisan Nasional pada tahap yang paling buruk dalam sejarah pilihan raya memberi kesan yang mendalam terhadap struktur politik dalam Negara ini. Seperti yang diperkatakan oleh Yang Mulia Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Aziz, seorang pemikir negara bahawa ia menunjukkan bahawa satu keadaan buku baru telah wujud dalam senario politik di negara ini dan bukannya bab yang baru. Sebanyak lima buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan telah jatuh kepada satu pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat.


        
    Satu pendekatan forensik politik perlu di buat terhadap keputusan pilihan raya ini  terutama parti-parti yang memperjuangkan bangsa Melayu dan bumiputera yang menjunjung agama Islam di negara ini. Ini kerana bangsa Melayu dan bumiputera merupakan tunjang utama perpaduan dan pembangunan di negara Malaysia. Ini perlu diakui oleh bangsa-bangsa lain tanpa ada sebarang syak wasangka. Dalam pendekatan forensik politik ini, satu pendekatan yang sistematik dan saintifik perlu dibuat bagi mengkaji keperluan dan kesan daripada keputusan pilihan raya ke-12 yang telah diadakan sebelum ini.


        
   Pilihan raya merupakan satu proses utama dan ia melibatkan entiti-entiti yang menjayakannya seperti para pengundi, calon-calon dun dan parlimen, ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, manifesto dan jentera parti-parti yang bertanding. Di samping itu terdapat beberapa proses dalam pilihan raya tersebut yang perlu di lihat seperti proses pengundian, penamaan calon, pemilihan calon dan kempen. Kesemua perkara ini perlu dikaji dengan lebih teliti agar dapat memberi satu keputusan yang baik untuk masa hadapan atau pilihan raya yang ke-13 nanti. Kajian-kajian ini perlu dibuat bukan sahaja kepada parti yang kalah tetapi juga kepada parti yang menang, Institusi Pengajian Tinggi, badan-badan bukan kerajaan dan juga agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.


       
    Apa yang jelas diperolehi dalam keputusan pilihan raya ke-12 ini adalah berpecahnya undi masyarakat melayu atau bumiputera yang sangat ketara. Namun begitu, negeri-negeri seperti Kedah, Perak dan Selangor yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat didapati bilangan kerusi DUN yang diperolehi oleh Barisan Nasional boleh dikatakan agak tertinggi berbanding parti-parti lain. Di Kedah, Barisan Nasional memperolehi 15 kerusi DUN, kedua tertinggi selepas parti PAS, 28 kerusi DUN di Perak dan 20 kerusi DUN di Selangor yang mana ia merupakan yang tertinggi di kedua-dua buah negeri tersebut. Walaupun begitu, jumlah kerusi yang diperolehi oleh Barisan Nasional tidak mengcukupi untuk membentuk sebuah kerajaan negeri berbanding pembangkang yang apabila digabungkan kerusi-kerusi DUN yang dimiliki oleh parti PAS, DAP dan PKR berupaya untuk membentuk sebuah kerajaan negeri.


        
   Di sini boleh dilihat seperti yang diperkatakan oleh Yang Mulia Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Aziz, wujudnya buku yang baru dalam senario politik Negara. Demi memperkukuhkan kemajuan pembangunan dan perpaduan di Negara ini, kedudukan politik bangsa melayu dan bumiputera sebagai tunjang utama dalam politik Negara yang jelas kelihatan berpecah perlu dipulihkan dengan segera oleh parti-parti yang memperkatakan memperjuangkan nasib bangsa melayu atau bumiputra dan Islam seperti parti PAS dan Barisan Nasional yang diterajui oleh parti UMNO.


          
  Di dalam mekanisme feqah ada yang dinyatakan satu kaedah iaitu menggunakan musibah yang kecil bagi mengelakkan berlakunya musibah yang lebih besar yang di ambil sempena peristiwa yang telah berlaku ketika pengembaraan Nabi Musa A.S dan Nabi Khidir A.S. Senario politik yang berlaku di negeri Perak dan Selangor perlu ditangani dengan bijaksana oleh parti-parti yang memperkatakan mereka berjuang untuk bangsa melayu, bumiputra dan Islam iaitu parti PAS dan UMNO. Satu kerajaan campuran boleh dibentuk di negeri Selangor dan Perak oleh parti PAS dan Barisan Nasional demi melihat kelangsungan politik melayu dan bumiputera yang menjadi kekuatan dan kestabilan politik di Negara ini. Demi perkara ini, parti PAS perlu berkorban sedikit dengan ideologinya yang mungkin ada bertentangan sedikit dengan Barisan Nasional dan Parti UMNO sebagai tunjang kepada Barisan Nasional perlu banyak bertolak ansur dalam memberi kuasa kepada Parti PAS dalam memerintah negeri-negeri tersebut. Sekiranya di lihat seperti sesetengah Negara yang partinya memperkatakan untuk semua bangsa tetapi akhirnya masyarakat pribumi atau bumiputera ditindas dan merempat malah diketepikan secara sistematik di Negara sendiri. Perkara ini yang perlu dilihat oleh parti-parti yang berkaitan tanpa perlu terlalu taksub dan ego dengan kemenangan atau ideologi masing-masing.


           
Kelangsungan dan kekuatan politik bangsa melayu beragama Islam di Negara ini sangat penting sebagai tunjang perpaduan dan pembangunan di Negara Malaysia. Nikmat dan pencapaian yang diperolehi negara ketika ini adalah hasil daripada perkara tersebut. Parti-parti dan masyarakat melayu serta bumiputera perlu melihat perkara ini bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi adalah untuk kesejahteraan keseluruhan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang tercinta ini. Kesyukuran di atas kurniaan Allah S.W.T kepada kita dengan negara yang aman dan harmoni ini perlu diingati dan diterjemah dalam tindakan-tindakkan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Posted by Han in 22:26:45 | Permalink | No Comments »

Thursday, December 18, 2008

Panduan Memperkasakan Penggunaan Katalaluan di Komputer

Hari ini apa sahaja permohonan dan banyak aplikasi-aplikasi telah berubah keadanya daripada bentuk salinan bercetak seperti borang-borang dan surat-surat ke satu bentuk baru iaitu bentuk digital yang memerlukan penggunaan komputer, teknologi maklumat dan Internet.

Dalam mengendalikan perkara-perkara tersebut, penggunaan katalaluan sangat penting bagi memastikan keselamatan kendalian pelbagai aplikasi menerusi Internet terjamin.

Di sini disediakan sedikit pandua untuk kita dalam menguruskan penggunaan katalaluan ini agar pelayaran di Internet dengan pelbagai aplikasi terjamin keselamatannya dan mudah untuk kita gunakan.

Tidak Menggunakan Maklumat Peribadi Sebagai Katalaluan

Jangan sesekali menggunakan maklumat peribadi seperti nombor flat kereta, nombor kad pengenalan dan sebagainya kerana semua perkara tersebut dengan mudah dapat diteka oleh sesiapa yang mencuba untuk memecah masuk katalaluan kita.

Elakkan Penggunaan Perkataan Yang Biasa

Jangan sesekali menggunakan apa-apa perkatan yang biasa digunakan dalam apa sahaja bahasa sama ada dalam bahasa melayu, bahasa inggeris atau yang lain-lain. Ini kerana ada perisian yang boleh menyimpan semua perkataan yang ada dalam sesuatu bahasa dan dengan cepat akan mencuba setiap perkatan dalam bahasa tersebut.

Penggunaan Pelbagai Campuran Jenis Aksara

Praktikkan penggunaan pelbagai campuran jenis aksara untuk katalaluan kita seperti penggunaan huruf, nombor dan simbol.

Penggunaan Singkatan Perkataan Rahsia

Praktikkan penggunaan singkatan perkataan rahsia untuk katalaluan bagi memudahkan katalaluan tersebut diingati seperti mungkin kita minat satu tajuk lagu seperti Sekelip Mata Kau Berubah yang diterbitkan pada tahun 2008. Jadi, kita cipta katalaluan kita sebagai smkb2008. Ia perlulah ada campuran pelbagai aksara dan panjangnya seelok-eloknya minima 6 aksara.

Penggunaan Alat Pengurusan Katalaluan

Ini adalah satu perisian yang membolehkan kita mengurus katalaluan dengan menyimpan dan mengingati senarai katanama dan katalaluan dengan selamat kerana ia dienkripsikan. Ada yang boleh menggunakan perisian ini dengan memasukkan katanama dan katalaluan ke dalam aplikasi komputer secara automatik.

Penggunaan Katalaluan Yang Berbeza

Pastikan setiap aplikasi komputer yang digunakan akan menggunakan katanama dan katalaluan yang berbeza. Ini kerana sekiranya dalam satu aplikasi katalaluan tersebut dicerobohi, ia tidak akan merebak ke  aplikasi-aplikasi yang lain.

Kekerapan Pertukaran Katalaluan

Praktikkan katalaluan ditukar pada setiap 30 atau 60 hari penggunaannya.

Pengunaan Katalaluan Yang Perkasa Dari Segi Strukturnya

Pastikan katalaluan yang digunakan bukan sahaja mudah untuk kita mengingatinya tetapi juga ia sukar untuk diteka oleh para penceroboh. Boleh menggunakan polisi sekiranya ia melibatkan penggunaan pelayan bagi memenuhi kekuatan minima katalaluan.

Posted by Han in 04:29:13 | Permalink | No Comments »

Wednesday, December 17, 2008

Implementasi E-Pembelajaran Secara Mudah dan Percuma

Dewasa ini, sering kedengaran berkenaan dengan satu kaedah pembelajaran alternatif kepada sistem pembelajaran sedia ada di sekolah iaitu pembelajaran yang berasaskan komputer atau lebih dikenali sebagai E-Pembelajaran.

 

Kebanyakan institusi pendidikan di Malaysia seperti di pusat-pusat pengajian tinggi telah lama  mengorak langkah ke arah mewujudkan satu sistem pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan dan bestari dengan mewujudkan sistem E-Pembelajaran ini. Suasana persekitaran digital yang semakin hari semakin canggih dan mudah capaiannya, merancakkan lagi penggunaan dan keperluan E-Pembelajaran ini dalam sistem pembelajaran.

 

Implementasi E-Pembelajaran ini dengan kelebihan-kelebihan yang ada padanya dapat mempercepatkan lagi proses pembangunan modal insan yang sangat dituntut oleh pihak kerajaan Malaysia kerana modal insan yang bestari ini akan berupaya menangani segala cabaran dalam merealisasikan Wawasan 2020.

 

Kelebihan E-Pembelajaran adalah ia bersifat pembelajaran yang bertumpu kepada individu, terkini, berfokus kepada pelajar, sesuai pada masanya  dan interaktif. E-pembelajaran juga melibatkan campuran pelbagai sumber pembelajaran yang interaktif dengan menggunakan teknologi maklumat sebagai bentuk persembahannya bergantung kepada kreativiti pengajar.

 

Terdapat pelbagai jenis E-Pembelajaran yang boleh diimplementasikan dalam dunia pendidikan sebagai bahan sokongan kepada sistem pembelajaran untuk para pelajar. Ia boleh dikelaskan cirinya kepada empat jenis seperti yang berikut:-

 

1.       E-Pembelajaran yang berasaskan kepada teknologi komputer sebagai perantaraan komunikasi seperti sidang video, multimedia, groupware, video on-demand, sistem tutoran cerdas, deskop pulishing dan realiti maya.

 

2.       E-Pembelajaran yang berasaskan kepada teknologi web dan Internet atau lebih dikenali sebagai pembelajaran atas talian.

 

3.       E-Pembelajaran yang berasaskan kepada penggunaan CD-ROM atau DVD dan elemen-elemen multimedia dalam komputer.

 

4.       E-Pembelajaran secara masa nyata atau bukan masa nyata. Bagi pembelajaran masa nyata adalah satu keadaan di mana proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara serentak walaupun kedudukan fizikal pengajar dan pelajar adalah sangat jauh dari segi jaraknya seperti persidangan video, kuliah secara atas talian atau secara langsung menerusi satelit. Keadaan sebaliknya pula bagi  E-Pembelajaran secara bukan masa nyata.

 

Kaedah E-Pembelajaran berasaskan Web dan Internet ini sangat popular digunakan kerana ia ia berupaya dicapai di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Di samping kandungannya yang interaktif seperti terdapat ruangan perbincangan, pengundian, perkongsian fail dan sebagainya. Ia juga menyediakan satu platfom pembelajaran sokongan yang murah dari segi kos, meningkatkan akses kepada proses pembelajaran dan tanggungjawab pembelajaran diperluaskan kepada semua yang terlibat dalam proses pembelajaran tersebut .

 

Untuk implementasi kaedah E-Pembelajaran ini secara percuma tidak bermaksud ia percuma secara total tetapi ia percuma dari segi kerangka platform sistem untuk bahan-bahan pembelajaran dan kandungannnya sahaja. Perkara-perkara dari segi aspek fasiliti seperti komputer, akaun Internet dan lain-lain  masih memerlukan kos untuk mendapatkannya.

 

Di sini disertakan beberapa cara untuk membolehkan kita menyediakan kerangka platfom sistem untuk bahan-bahan pembelajaran dan kandungan e-pembelajaran ini secara percuma:-

 

1.      Membangunkan sendiri sistem dan antaramuka tersebut dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan PHP dan pangkalan data MySQL yang boleh didapati secara percuma di Internet. Namun ia memerlukan kemahiran dalam dua perkara tersebut dan perlu kos tambahan untuk meletakkan web kita di Internet.

 

2.      Menggunakan sistem pengurusan kandungan web yang sedia dimuatturunkan secara percuma daripada Internet seperti Moddle, Mambo dan lain-lain. Ia memerlukan sedikit kemahiran dari segi penggunaan sistem pengurusan kandungan tersebut dan memerlukan kos tambahan untuk meletakkan web sistem E-pembelajaran tersebut di Internet.

 

3.      Menggunakan sistem web untuk kumpulan perbincangan secara percuma  seperti yang disediakan oleh Yahoo Groups!, Myspace , Google dan lain-lain.

 

Kaedah yang paling mudah dan paling jimat adalah menggunakan sistem web untuk kumpulan perbincangan seperti yang disediakan oleh pihak Yahoo!, Myspace, Google dan lain-lain. Walaubagaimanapun, pihak pengajar perlu menyediakan sendiri bahan-bahan pembelajaran dan masukkan ke dalam sistem tersebut seperti nota digital, video, permainan, perbincangan dan lain-lain.

 

Kekangannya pula ialah sistem kerangka dan fungsi yang digunakan dalam sistem web tersebut adalah tertakluk kepada yang empunya sistem tersebut dan sekiranya sistem tersebut ‘down’ atau mempunyai masalah. Maka, akses kepada sistem tersebut juga tidak boleh dicapai atau mempunyai capaian yang lambat. Begitu juga jumlah saiz yang boleh digunakan dalam satu kumpulan perbincangan elektronik ini adalah terhad kepada saiz yang telah ditetapkan oleh pihak empunya.

 

Namun demikian, E-Pembelajaran merupakan satu bahan sokongan yang sangat baik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam sistem pembelajaran tradisional, pengajar merupakan tempat pergantungan sepenuhnya bagi para pelajar dalam proses pembelajaran. Dalam kaedah E-Pembelajaran, pengajar merupakan sebagai pemudah cara dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Jadi, para pelajar perlu lebih berdikari, berusaha dengan gigih dan lebih bertanggung jawab dalam proses pembelajaran mereka dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pengajar.

 

Posted by Han in 01:02:35 | Permalink | No Comments »

Tuesday, December 16, 2008

Asas Kelamatan Penggunaan Komputer di Rumah

Dewasa ini terlalu banyak perkara yang kita lakukan menggunakan komputer dan Internet. Sekiranya ia di buat di pejabat, syarikat, sekolah dan sebagainya, di tempat tersebut ada mekanisme tersendiri dalam mengatasi masalah keselamatan dalam penggunaan komputer dan Internet.

Bagi kita yang menggunakan komputer dan Internet di rumah juga perlu mengambil beberapa langkah keselamatan untuk mengatasi dan mengurangan berlakunya masalah-masalah yang tidak diingini.

Di sini ada beberapa perkara yang boleh kita lihat dan bertindak untuk keselamatan komputer kita. Antaranya adalah seperti:-

Pemasangan dan Penyelenggaraan Perisian Anti Virus

Setiap komputer kita perlu dipasangkan perisian ini sama ada ia dibeli atau dimuat turunkan secara percuma di mana-mana laman web (Pastikan ianya memang laman web perisian anti virus tersebut seperti Avast dan sebagainya).

Ini sangat penting kerana komputer kita terdedah kepada banyak perkara-perkara negatif seperti malware, virus dan sebagainya yang juga semakin hari berkembang dengan ciri-ciri yang sangat canggih.

Sesudah pasang, ia perlu dijanakan untuk mengimbas fail-fail yang terdapat dalam komputer, fail yang  diterima menerusi email atau fail yang dimuatturunkan daripada mana-mana alamat Internet atau Web. Ia perlu dibuat sekerap yang mungkin.

Virus-virus atau perisian-perisian negatif yang baru ini akan muncul setiap hari. Jadi, kita perlu mengemaskini perisian antivirus tersebut sekurang-kurangnya sekali seminggu. Ia boleh didapati dan dimuatturunkan di laman web perisian anti virus tersebut.

Kewaspadaan dalam Membuka E-mel yang Diragui atau yang Tidak Diketahui

Kebanyakkan virus dan worm hari ini menggunakan konsep kejuruteraan sosial dalam teknik serangannya  dengan membuat apa-apa penipuan untuk melibatkan kita dalam proses negatif mereka. Sebagai contoh, ia boleh menipu alamat penghantar e-mel seolah-olah e-mel tersebut dihantar daripada orang lain.

Sekiranya e-mel yang kita terima tersebut, tidak dkenali alamatnya, buang sahaja e-mel tersebut dan bagi alamat yang kita kenali, perlu diselidiki dengan lebih berhati-hati mesejnya sebelum dibuka apa-apa fail yang diterima. Untuk lebih kepastian lagi, hubungi pemunya alamat email tersebut.

Sentiasa Mengemaskini Keselamatan dan Kelemahan Perisian

Dalam komputer kita ada perisian-perisian dan sistem pengoperasian seperti Windows, Linux dan sebagainya. Kadang kala, perisian-perisian ini mempunyai kelemahan-kelemahan yang tidak dijumpai semasa ia dicipta. Jadi, kelemahan-kelemahan ini akan digunakan oleh perisian-perisian atau individu-individu jahat untuk membuat sesuatu perkara yang negatif terhadap komputer kita.

Kemaskini keselamatan perisian-perisian ini perlu kita buat sekerap yang mungkin dengan memuatturunkan fail kemaskini daripada laman web pencipta perisian-perisian itu dan memasangnya dalam komputer kita.

Sebagai contoh dalam Windows, ada fungsi Windows Update yang boleh kita gunakan untuk kemaskini keselamatan dengan lebih mudah.

 

Posted by Han in 02:01:13 | Permalink | No Comments »

Sunday, December 14, 2008

Sejarah Kampung Mengkarak

Dipetik daripada blog, http://braderjamal.blogspot.com

SEJARAH KAMPUNG MENGKARAK

Foto Lembah Singkarak di Sumetra tempat kelahiran Tok Mengkarak…
Luhak singkarak & Solok(lembah)
Dari Gunung Merapi menurun perlahan-lahan ke bawah, sejajar dengan Tanah Datar yang terpisah oleh pegunungan rendah, terletak lembah Singkarak-Solok. Pada dasar lembah ini terdapat Danau Singkarak, berbentuk bulat telur, panjangnya kira-kira 12.5 mil dengan lebar maximum 5 mil, yang mengalirkan airnya kesisi timur melalui sungai yang akhirnya menyatu dengan salah satu sungai terbesar di pantai Timur Sumatera. Dilembah ini juga terdapat gunung berapi, karena pada sebelah barat laut berbatasan dengan Gunung Talang yang menjulang 4.500 kaki di atas permukaan laut.
PENEMUAN KAMPUNG MENGKARAK. ( Sekitar 1620 an )
Kampung Mengkarak pada sejarah awal sebelum penempatan moden merupakan sebuah kawasan hutan yang disaliri oleh Sungai Pahang. Sebagaimana kedudukan kampung kampung lain ditepi sungai pahang, Kampung Mengkarak tidak dapat tidak didiami oleh kumpulan Melayu Asli dari keturunan Semelai dan Melayu Proto. Namun tiada bukti kukuh mengenai kaum asli yang menetap di Kg Mengkarak sebelum tahun 1600, ( penulis pernah menjumpai lokasi tanah perkuburan pra sejarah dengan himpunan tengkorak manusia dan tulang tulang manusia- lokasi Projek Mengkarak Warefront dan lain lain andaian – elok kalau ada anak kg mengkarak membuat kajian terperinci persejarahan awal kampung bertuan ini !! ).
Sungai Mengkarak dengan muaranya yang bertemu dengan Sg Pahang betul betul terletak di tanjung Sg Pahang yang paling selatan jika merujuk peta negeri pahang..dan keunikan ini menjadikan aliran sg pahang seperti berbentuk huruf U.
Sekitar tahun 1620an, semasa kegemilangan Kerajaan Kesultanan Pagar Ruyung di Pulau Sumetra, berlaku pertentangan aliran fahaman tarikah dalam pengembangan agama Islam. Kumpulan pendakwah yang lebih berfahaman ekstreem dalam bidang tauhid telah meletakan tarikat Martabat 7 sebagai dasar utama amalan agama islam. Imam Nur Al Bayan dan anaknya Iman Nur Al Qadim ( Kamudian dikenali sebagai Tok Mengkarak ) merupakan pendakwah dan pengamal tarikat ini yang mendapat penentangan daripada Sultan Iskandar Muda Thani ( Sultan Pagar Ruyung ). Baginda sultan telah mengeluarkan titah untuk menangkap, membunuh pengikut Martabat 7 selain membakar semua kitab kitan yang digunakan.
Menyedari ancaman ini, Iman Nur Al Bayan dan anaknya Iman Nur Al Qadim serta pengikut pengikut yang setia dan pengikutnya telah berhijrah ke Tanah Melayu untuk mempertahankan ajaran yang dianuti serta mengembangkan Agama Islam ke Tanah Melayu terutama untuk kawasan pendalaman Negeri Pahang…penghijrahan ini juga melibatkan waris kesultanan Pagar Ruyung yang merasa terancam dengan kuasa Sultan yang memerintah. ( Ada dakwaan bahawa..kumpulan ini merupakan waris kesultanan Pagar Ruyung yang dipinggirkan dan dengan salasilah kesultanan ini mereka telah mendapat tempat sebagai pemimpin atau pemerintah di tempat tempat yang tertentu – Contohnya, hubungkait dengan salasilah kesultanan Seri Menanti di Negeri Sembilan, kesultanan Maharaja Perba Jelai di Lipis dan perkaitan dengan salasilah keluarga di Pekan, Chenor…..
Posted by Han in 23:35:03 | Permalink | No Comments »

Friday, December 12, 2008

Kezaliman Yang Tersembunyi dan Yang Nyata

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Disini dinukilkan satu perbincangan untuk kita semua renungi dan berbahas dengan fikiran yang terbuka.

Teringat akan syarahan yang disampaikan oleh Ustaz Rahim Rafiee, pensyarah Fakulti Pendidikkan di UPM pada 8-9 tahun yang lalu mengenai zalim.

Allah S.W.T melarang umatnya melakukan kezaliman malah perlu untuknya mencegah daripada berlaku seperti yang terdapat dalam Surah Asy-Syura Ayat 227 yang antara maksudnya “….Nanti akan tahu orang-orang yang aniaya, ke tempat mana mereka akan kembali.”

Kezaliman ini berlaku sama ada secara yang terang atau secara tidak jelas.

Kezaliman yang berlaku secara terang amat mudah untuk kita kenalpasti seperti berlakunya penindasan orang-orang Israel terhadap orang-orang palestin atau penindasan yang dibuat oleh orang-orang Serbia ke atas orang-orang Bosnia dan sebagainya.

Bagaimana pula kezaliman yang tersembunyi? Ia lebih kepada ketidakadilan atau kita tidak meletakkan hak ke atas yang sepatutnya.

Seperti contoh majikan dengan pekerjanya. Pekerja berhak untuk mengambil cuti tahunannya tetapi majikan atau bos mempunyai kuasa untuk meluluskannya. Sekiranya pekerja tadi memohon cuti sebagai haknya dan majikan tadi dengan kuasa yang ada berpendapat tidak perlu meluluskan cuti tersebut. Pendapat majikan atau kita kadang-kadang tidak sempurna tetapi secara haknya, memang sepatutnya pekerja tadi dapat cuti. Maka berlakulah satu kezaliman.

Begitu juga beliau andaikan beliau sendiri sebagai pensyarah dengan pelajar beliau.

Dari segi pemberian markah, sekiranya markah yang kita beri itu kurang daripada sepatutnya yang pelajar itu dapat maka kita dah melakukan kezaliman. Kita bagi markah terlebih tidak mengapa (Bukan saja-saja bagi lebih) tetapi sekiranya kurang daripada yang sepatutnya , berlakulah kezaliman.

Ini berdasarkan hadis yang mengatakan bahawa ada tiga jenis hakim iaitu dua masuk neraka dan satu tidak masuk neraka.

Yang masuk neraka:-

1. Hakim yang pasti tahu perkara tersebut satu kesalahan yang telah dibuat dan tidak menjatuhkan hukuman yang sepatutnya.

2. Hakim yang yang tidak pasti tahu kesalahan tersebut dilakukan dan telah menjatuhkan hukuman terhadapnya tetapi perkara yang sebenarnya kesalahan itu tidak dilakukan.

Yang tidak masuk neraka tentulah Hakim yang adil dan Hakim yang yang tidak pasti tahu kesalahan tersebut dilakukan dan tidak menjatuhkan hukuman terhadapnya walaupun perkara yang sebenarnya kesalahan itu dilakukan.

Itulah dia indahnya Islam, walaubagaimanapun dalam perhubungan sesama manusia kita bukanlah searif Umar Al-Khatab yang digelar Al-Farouk di mana ia dapat membezakan dengan jelas yang benar dan yang tidak benar, yang salah dan yang tidak salah dan sebagainya.

Lebih baik kita mengambil jalan tengah dalam membuat sesuatu keputusan yang melibatkan hak orang lain yang berkait dengan kuasa kita agar kita tidak melakukan kezaliman.

Ini juga merupakan satu dakwah kepada orang bukan Islam di mana perkara kezaliman ini bukan sahaja tertumpu kepada umat Islam tetapi juga kepada bangsa-bangsa lain seperti China dan India yang bukan beragama Islam.

Dirawikan daripada Rasulullah S.W.T, beliau bersabda: “Lima orang yang mendapat murka Allah SWT, Jika mahu Dia akan berikan pada mereka di dunia atau dia tempatkan mereka di Akhirat dalam neraka:

1. Pemimpin yang merampas hak rakyatnya, tidak pernah ia menginsafi dirinya terhadap perbuatannya dan melakukan kezaliman terhadap rakyatnya.

2. Pemimpin yang ditaati kaumnya, namun ia tidak membezakan mana yang kuat dan yang lemah tetapi dizalimi serta berkata dengan hawa nafsunya,

3. Lelaki yang tidak pernah mementingkan isteri dan keluarganya untuk taat kepada Allah dan tidak mengajari mereka urusan agamanya,

4. Lelaki yang tidak memberi upah dengan cukup pada pekerjanya,

5. Dan lelaki yang menganiaya dalam maharnya.”

Itulah dia antara yang dapat saya kongsikan yang dipetik daripada ceramah beliau.

Sesiapa yang pernah berada atau menetap di UPM atau sekitar Serdang , biasanya amat mengenali beliau.

Diharapkan agar diri saya dapat mengelakkan daripada melakukan kezaliman ini secara kita tidak sedari dalam kehidupan seharian saya terhadap diri, pelajar, rakan-rakan sekerja, keluarga, bangsa, negara, masyarakat, universiti dan negara.

Posted by Han in 01:01:53 | Permalink | No Comments »

Salam Ukkuwah

Assalamualaikum W.B.T dan S. Pagi,

Blog merupakan satu model atau kaedah untuk membuat sesebuah penulisan itu boleh dipaparkan atau dipasarkan tanpa perlu kita melalui pihak penerbitan tetapi menggunakan teknologi web dan Internet.

Di sini saya namakan blog ini sempena nama tempat asal usul saya dan supaya dapat menjadi medan perbincangan ilmiah dan isu-isu semasa dalam membina minda dan  pemikiran kita semua.

Harap mendapat sokongan, tunjuk ajar dan panduan daripada kita semua.

Apa yang baik dijadikan panduan manakala yang buruk dijadikan sempadan.

Terima Kasih.

Firkhan Ali.

Posted by Han in 00:39:59 | Permalink | No Comments »